SONY Ericsson memperkenalkan tiga model terbaru telefon bimbit pintar terkini dalam Xperianya iaitu X10, X10 mini dan X10 mini pro.X10 ialah model perdana bagi pengeluar terkemuka itu yang dijangka mula memasuki pasaran menjelang April depan.
Platform pengalaman pengguna (UX) baru yang dimasukkan untuk operasi ketiga-tiga X10 ini membolehkan pengguna menganjurkan semua aplikasi mengikut kehendak mereka dan menemukan lebih banyak lagi pengalaman baru yang lebih terbuka, kemanusiaan dan intuitif.Sistem terbuka berasaskan Android ini menggabungkan ciri hiburan terbaik dalam kelasnya dengan pelbagai aplikasi menyeronokkan termasuk perkhidmatan rangkaian sosial dan antaramuka yang diperkaya dengan grafik.
Menurut Ketua Bahagian Pengurusan Portfolio Pengguna Asia, Sony Ericsson Mobile Communications International, Maurice van Tholen, penggunaan sistem terbuka berasaskan Android adalah satu daripada strategi Sony dalam pembangunan telefon bimbit yang mudah diterima ramai.
"Kepelbagaian model dalam satu siri itu pula adalah sebagai memenuhi pelbagai keperluan pengguna masa kini. X10 adalah model bersaiz penuh, sementara X10 mini bersaiz lebih kecil dan X10 mini pro pula bersaiz kecil dengan pad kekunci QWERTY," katanya.Ketiga-tiga model memiliki ciri dan fungsi yang sama, malah dilengkapi skrin LCD TFT peka sentuhan tahan calar.