Thursday, February 4, 2010

Isu Bahasa Inggeris

Tidak Faham Atau Sengaja Ambil Kesempatan 

Kuala Lumpur -- Isu penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik tidak akan berkesudahan sekiranya pihak-pihak tertentu termasuk di kalangan pemimpin UMNO sendiri gagal memahami tujuan sebenar pelaksanaan tersebut.
Lebih memburukkan lagi keadaan apabila pemimpin tersebut melihat isu ini di luar konteks yang sebenar dengan menjadikannya sebagai paltform untuk meraih populariti.
Mengulas perkara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Hishammuddin Tun Hussein berkata suara-suara sumbang pemimpin tersebut tidak akan memberi banyak faedah dalam membantu bukan sahaja kerajaan malah Parti yang diwakilinya kerana hujah yang dikemukakan itu berada di luar ruang lingkup perbahasan berkenaan dengan isu tersebut.
Menurutnya, Pemuda dan UMNO amnya mempunyai kesedaran dan pandangan yang jelas mengenai kepentingan bahasa Melayu.
Malah katanya, sumbangan UMNO untuk mengangkat martabat orang Melayu juga sememangnya tidak boleh dipertikaikan sejak dari dulu lagi.
“Kita mempertahankan pelaksanaan pengajaran bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik dengan tujuan memastikan anak-anak Melayu tidak terpinggir dalam arus globalisasi.
“Semua pihak harus sedar pelaksanaan ini adalah satu langkah ke hadapan untuk memajukan anak bangsa. Ia bukan sahaja meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris malah apa yang lebih penting dengan penguasaan itu juga anak bangsa kita akan lebih berupaya mengusai ilmu sains dan teknologi yang jelas menjadi teras kepada kemajuan sesebuah negara pada masa hadapan”, katanya ketika diminta mengulas suara sesetengah pemimpin UMMNO seperti Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Shahril Abdul Samad dalam isu penggunaan bahasa Inggeris di sekolah di sini, hari ini.
Katanya lagi, tidak menjadi kesalahan jika pihak-pihak tertentu termasuk pemimpin UMNO meluahkan pandangan yang kritis terhadap cadangan kerajaan berhubung dengan pelaksanaan bahasa Inggeris itu tetapi biarlah ia bersifat membina.

“Namun pada masa yang sama kita mahu bertanya kepada individu terbabit apakah sumbangannya untuk menjelaskan kepada masyarakat mengenai masalah yang sedang bangsa kita hadapi kini”, katanya.
Tegasnya, sekadar melontarkan pandangan mencari seribu satu kelemahan di dalam sesuatu isu itu tidak akan membawa sebarang makna dan manfaat tanpa sebarang usaha membaiki keadaan tersebut.
“Banyak perkara lain yang lebih berfaedah boleh dilakukan umpamanya mencari jalan terbaik memperkasakan sekolah kebangsaan, meningkatkan lagi integrasi nasional melalui sekolah wawasan, cadangan terhadap langkah menguasai bahasa Inggeris dan pada masa yang sama memastikan bahasa Melayu tidak terhakis.
“Cara ini lebih bermanfaat, bernilai dan bermakna berbanding menidakkan atau menafikan apa sahaja usaha kerajaan”, katanya.
Beliau berkata, dalam keadaan ini Pemuda sudah pun membuktikan usahanya menghadapi golongan ekstremis Cina ketika isu tuntutan Suqiu dan berjaya memadamkan desakan mereka.
Beliau kesal kerana ada pemimpin UMNO sendiri yang memberikan pandangan yang seolah-olah alpa dari agenda meningkatkan daya saing bangsa, terutama dengan peningkatan persaingan menjelang era globalisasi.
“Memang mudah bersuara lantang, meraih populariti bagi mendapatkan sokongan menerusi cara itu tetapi cuba tanya diri sendiri, apakah cara itu dapat membantu bangsa sendiri, memperkasa bahasa Melayu, menjelaskan kekeliruan mengenai sekolah wawasan dan memperkukuhkan sekolah kebangsaan?
“Malah jika semua pihak dapat bekerjasama dengan ikhlas untuk memperkasakan sekolah kebangsaan dan sekolah wawasan, percayalah pada suatu masa kelak pelbagai jenis sekolah kebangsaan tidak akan diperlukan lagi khususnya dalam usaha mewujudkan integrasi nasional yang mantap”, katanya.
Hishammuddin berpendapat, sudah sampai masanya pemimpin UMNO yang seumpamanya menghentikan kecenderungan menonjolkan sikap kritis sehingga lupa perjuangan sebenar Parti yang sentiasa meningkatkan martabat agama, bangsa dan negara.

Peniaga Kecil Melayu diMalaysia Susah Nak Berjaya??

 
Berniaga ini ada turun naiknya. Bisnes ini satu yang dinamik, sentiasa berubah, persaingan dari segi saiz, bentuk dan intensitinya  yang akan sentiasa berubah.  Perlunya fleksibiliti untuk menyesuaikan dengan perubahan yang ada disekeliling. Kalau boleh, perlu golongan peniaga kecil Melayu di Malaysia bersatu. Lihat dewan perniagaan Cina, lihat pemborong mereka, lihat persatuan pemborong mereka. Bagaimana mereka mampu mengawal penawaran sesuatu benda dnegan cara bersatu. Kita jarang-jarang tiru sebegitu.
Saya ingin mengulas artikel berkenaan “Peniaga Kecil Melayu Sedang Dalam Kesusahan” setelah membaca rintahan peniaga kecil Melayu dalam akhbar Kosmo mengatakan perniagaan mereka ketika ini dihimpit keperitan sebaik 2009 membuka tirai.  Mereka menyangka dapat membawa pulangan modal dan keuntungan memberangsangkan seperti yang mereka perolehi sekitar tahun 2008.
Dalam bisnes, otak mesti kena ligat, kalau tidak susah untuk maju. Pembekal contohnya bukan satu sahaja di dunia. Okey, kita kecilkan skopnya.  Bukan satu sahaja pembekal di Malaysia. Lagipun bisnes, bukan terikat kepada satu cara sahaja. Dalam bisnes semua benda kena jalan. Cuba lihat syarikat maju yang ada pada hari ini. Mereka bukan terikat pada satu sumber atau pembekal sahaja. Pokok pangkalnya kalau nak maju dalam bisnes otak kena ligat. Dalam bahasa mudahnya, kalau merasakan diri tidak mampu berfikir untuk memajukan perniagaan sendiri boleh sahaja meminta nasihat daripada yang lebih layak. Sekurang-kurang kita mempunyai usaha untuk menjadi lebih maju dibandingkan dengan hanya merunggut-merungut, dalam pada masa yang sama nasib tidak dapat berubah.
Contohnya kalau otak tak ligat, jangan haraplah si Donald Trump yang sudah beberapa kali mengistiharkan diri beliau pernah muflis  untuk bangkit jikalau tidak kerana semangat dan usaha tidak berputus asa dan kembali berjaya dan kaya seperti yang ada sekarang. Minta maaf saya katakan, sebahagian besar perniaga Melayu cepat berpatah hati apabila ditimpa sesuatu dan tidak pernah mencari jalan penyelesaian. Bukan niat saya untuk menjatuhkan bangsa sendiri. Saya lebih suka lihat bangsa sendiri lebih berjaya. Tetapi, kalau mereka sendiri tak nak berubah, bagaimana?
Senario yang saya boleh lihat sendiri hari ini. Apabila peniaga asing, contohnya daripada Indonesia buka kedai di sebelah-menyebelah. Mula hendak sakit hati. Sepatutnya kita kena bersyukur dan ambil saingan yang ada dalam bentuk yang positif. Masa itula perlukan perubahan. Cari dan kaji apa yang orang suka. Lihat Kentucky Fried Chicken, dahulu sejarah penubuhannya bukan  boleh main senang-senang terus maju sahaja. Berapa banyak kedai dia(Kolonel Sanders) pergi untuk yakinkan orang suruh jual produk ayam goreng dia. Bukan sekejap malah telah 1000 kali resepi beliau ditolak. Dia mengambil masa yang lama untuk menjadi Kentucky Fried Chicken seperti yang ada sekarang. Adakah dia berputus asa? Contohi dan jadikan mereka yang sudah berjaya sebagai role model dan bukannya cepat dengki-mendengki antara satu sama lain.
Satu lagi layanan. Ini paling penting. Tak perlu saya nak banding-bandingkan layanan antara sesama peniaga. Anda lebih memahaminya. Sekali lagi, aku suka bangsa Melayu lebih maju dalam perniagaan tetapi dengan usaha yang tidak seberapa, hubungan dengan pelanggan seperti ” hangat-hangat tahi ayam”, bagaimana hendak maju. Satu lagi jangan mengharap pelanggan untuk datang semata apabila membuka kedai. Kita sendiri yang “mencari pelanggan”.
Tidak lupa juga penguatkuasaan perlu dipertingkatkan, kadang-kadang peniaga asing yang ada datang ke Malaysia memang cara sah, tetapi pasport mereka yanya untuk tujuan melancong sahaja. Kalau nak meniaga mesti ada permit. Ini tidak, selamba aja mereka-mereka ini meniaga tanpa permit, tidak risau atau takut dengan penguatkuasa undang-undang. Memang tidak dinafikan banyak peniaga kecil Melayu yang gagal disebabkan kedatangan peniaga asing. Hari ini buat serbuan, besoknya akan penuh semula. Jika penguatkuasaan tegas dan berprinsip, mungkin masalah ini dapat dikurangkan daripada masa ke semasa.
Muhasabahkan diri, lihat semula mengapa orang tidak datang ke kedai kita dan sanggup pergi ke kedai lain?
  • Muka masam mencukakah?
  • Tak mesra pelanggan kah?
  • Harga mahal mencekik darahkah?
  • Ambil sikap ambil lewa ketika meniaga/tidak sembahyang /tidak bayar zakat kah ?
Lihat Chow Kit Road, Petaling Street dan Jalan Mesjid India. Tahun 70an dan 80an, kawasan Jalan Chow Kit termasuk kawasan sekitar Jalan Raja laut, Lorong Hj Taib, Jalan Tunku Abdul Rahman merupakan kawasan perniagaan Kuala Lumpur  yang pesat, maju dan terkenal dan dipenuhi dengan peniaga-peniaga Melayu terutama yang datang daripada Kelantan, setanding dengan kawasan perniagaan org Cina di Jalan Petaling @ China Town dan kawasan perniagaan orang India di Jalan Masjid India. Itu dahulu. Lihat situasi sebenar yang berlaku pada hari ini. Sekarang ini semuanya sudah tukar kepada warga asing Indon. Bagaimana pula dengan Lorong Haji Taib hari ini?

info kesihatan : Merokok,kesan dan akibat

 
Pengenalan
Tembakau yang menjadi bahan utama dalam rokok, telah diperkenalkan secara menyeluruh, termasuk ke dunia Islam, oleh penjajah Barat yang beragama Kristian, dan ianya belum pernah dikenali di zaman Nabi Muhammad s.a.w. Di kalangan masyarakat beratus tahun terdahulu, tembakau dihisap bukan sahaja untuk bersukaria tetapi sebagai satu acara dalam upacara kebudayaan dan keagamaan. Pada umumnya umat Islam tidak merokok melainkan kerana terpenggaruh kepada orang Barat yang menjajah mereka.

Hari ini, merokok adalah suatu kebiasaan yang diterima secara meluas dalam masyarakat kita, sehingga kadangkala ia dipandang sebagai satu norma yang membanggakan. Anggapan palsu ini terhasil apabila golongan yang mudah terpedaya dengan budaya asing,   terutamanya yg dipaparkan melalui media massa,  ingin pula bergaya demi mencapai status kecanggihan serta keunggulan yang kononnya dikaitkan dengan merokok. Malah tabiat suka meniru dan menyeleweng dari jalan yang benar adalah sesuatu yang kian menguasai anak-anak kaum Muslimin di zaman ini.

Hadith Rasullullah s.a.w. :


1. "Bezakan diri mu dari kaum Musyrikin" ( Al-Bukhari & Muslim)
2. "Bukan dari golongan kita, siapa yang menyerupai orang yang bukan dari kita. Jangan mengikut-ikut kaum Yahudi dan Nashrani" (At-Termidzi)
3. "Barangsiapa yang meyerupai sesuatu kaum, maka dia terkira dari golongan itu" (Abu Daud)

Kandungan Berbahaya Dalam Rokok
Setiap batang rokok yang dinyalakan akan mengeluarkan lebih 4 000 bahan kimia beracun yang membahayakan dan boleh membawa maut. Dengan ini setiap sedutan itu menyerupai satu sedutan maut. Di antara kandungan asap rokok termasuklah bahan radioaktif (polonium-201) dan bahan-bahan yang digunakan di dalam cat (acetone), pencuci lantai (ammonia), ubat gegat (naphthalene), racun serangga (DDT), racun anai-anai (arsenic), gas beracun (hydrogen cyanide) yang digunakan di "kamar gas maut" bagi pesalah yang menjalani hukuman mati, dan banyak lagi. Bagaimanapun, racun paling penting adalah Tar, Nikotin dan Karbon Monoksida.

Tar mengandungi sekurang-kurangnya 43 bahan kimia yang diketahui menjadi penyebab kanser (karsinogen). Bahan seperti benzopyrene iaitu sejenis policyclic aromatic hydrocarbon (PAH) telah lama disahkan sebagai agen yang memulakan proses kejadian kanser.

Nikotin, seperti najis dadah heroin, amfetamin dan kokain, bertindak balas di dalam otak dan mempunyai kesan kepada sistem mesolimbik yang menjadi punca utama penagihan. Sindrom ketagihan terhadap nikotin yang ditunjukkan dengan gejala gian, tolerans dan tarikan, adalah mungkin lebih hebat berbanding najis dadah. Malah daripada kajian saintifiknya nikotin itu juga sejenis najis dadah, sepertimana yang telah diiktiraf oleh dunia perubatan. Seseorang yang kehabisan rokok kadangkala berkelakuan seperti mengalami gangguan akal dan dalam keadaan yang amat tertekan sekali. Oleh itu terlalu sukar untuk sesiapa yang telah terjerat dengan ketagihan merokok, meninggalkan tabiat itu untuk selamanya, kecuali dengan ikhtiar yang serius dan kehendak Allah jua.

Nikotin turut menjadi punca utama risiko serangan penyakit jantung dan strok. Hampir satu perempat mangsa pesakit jantung adalah hasil punca dari tabiat merokok. Di Malaysia, sakit jantung merupakan menyebab utama kematian sementara strok adalah pembunuh yang keempat.
Karbon Monoksida pula adalah gas beracun yang biasanya dikeluarkan oleh ekzos kenderaan. Gas ini menjejaskan bekalkan oksigen ke tisu-tisu hingga ianya menjadi terencat dan akhirnya boleh menyebabkan maut sekiranya paras karbon monoksida di dalam badan melebihi 60%.
Apabila racun rokok itu memasuki tubuh manusia ataupun haiwan, ianya akan membawa kerosakkan pada setiap organ disepanjang laluannya, iaitu bermula dari hidung, mulut, tekak, saluran pernafasan, paru-paru, saluran penghazaman, saluran darah, jantung, organ pembiakan, sehinggalah ke saluran kencing dan pundi kencing, iaitu apabila sebahagian dari racun-racun itu dikeluarkan dari badan.

Kesan Asap Rokok Kepada Si Perokok Dan Orang Disekeliling
Si perokok bukan sahaja perlu bertanggungjawab pada diri sendiri tetapi turut bertanggung jawab pada orang disekeliling akibat daripada bahaya asap rokok. Asap rokok yang dihidu oleh perokok atau mereka yang berada di sekelilingnya, akan memasuki rongga mulut dan hidung melalui kerongkong ke paru-paru. Kandungan asap rokok akan menyebabkan kerosakan tisu di sepanjang perjalanan di ruang ini. Ia boleh menyebabkan pelbagai penyakit di mulut, kerongkong, paru-paru dan barah. Asap akan melalui saluran pernafasan ke dalam paru-paru dan merosakkan saluran bronkus, menyebabkan bronkitis, penyakit di bahagian paru paru. Ia juga akan merosakkan pundi udara dalam paru-paru (alveoli) dan menyebabkan penyakit emfisima.

Asap rokok yang dihidu juga akan melalui saluran penghadaman dan pencernaan, yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit di bahagian esofagus, perut dan pankreas.
Racun dalam asap rokok yang larut air akan memasuki sistem saluran darah dan dibawa ke seluruh badan. Bahan nikotin, bukan saja memberi sifat ketagihan, malah menyebabkan saluran darah arteri menjadi sempit. Ia juga merosakkan dinding arteri dan akan memudaratkan organ berkaitan.
Kesan ini, dalam jangka panjang, akan menyebabkan simptom kebas pada kaki, jari, migrain, sakit kepala, pedih ulu hati, kekejangan otot kaki, serangan penyakit jantung dan sebagainya.

Racun rokok akhirnya disaring dalam buah pinggang dan dihapuskan dari badan melalui air kencing. Dalam proses ini pula, berlaku satu lagi keracunan hasil penguraian kimia asap rokok yang turut merosakkan buah pinggang. Racun dalam air kencing juga menyebabkan kerosakan pundi kencing.

Racun akibat merokok juga mempunyai kesan tindak balas terhadap ubat-ubatan. Secara umum diketahui merokok boleh menjejaskan fungsi beberapa kumpulan enzim di hati dan ada kalanya ia boleh memperhebatkan kesan sampingan sesuatu ubat itu.

Kesan Asap Rokok Terhadap Isteri Perokok Adalah :
- Melahirkan bayi yang kurang berat badan
- Melahirkan bayi yang tidak cukup bulan
- Lebih terdedah kepada kanser
- Mengurangkan kesuburan dan putus haid awal

Kesan Asap Rokok Terhadap Anak Perokok :
- Lebih mudah mendapat lelah
- Mendapat jangkitan paru-paru
- Pertumbuhan paru-paru kanak-kanak terganggu
- Mudah menjadi perokok apabila dewasa kelak

Statistik Kematian Akibat Tabiat Merokok

Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun; 30 peratus daripadanya disebabkan 10 jenis kanser, iaitu paru-paru, mulut, esofagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut, 50 peratus kematian berpunca daripada sakit jantung dan strok dengan pecahan 25 peratus masing-masing.

Menurut Dr Sallehudin, lebih 100,000 perokok dimasukkan ke hospital kerajaan di seluruh negara akibat sakit jantung, kanser dan penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) dan lebih penting, negara mengalami kerugian kira-kira RM20 bilion setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti.

Faedah Berhenti Merokok
- Hidup lebih lama
- Dapat menghindari racun
- Dapat melindungi diri, keluarga dan orang lain daripada bahaya merokok
- Menjadi teladan yang baik kepada anak-anak
- Dapat meningkatkan kecergasan serta memiliki tubuh yang sihat
- Meningkatkan deria rasa dan bau
- Gigi lebih putih dan nafas lebih segar
- Dapat mengelakkan budaya membazir dengan menggunakan wang untuk membeli rokok kepada tujuan yang lebih baik dan bermanfaat.

Gunakan Kaedah Yang Betul Untuk Berhenti Merokok
- Tetapkan tarikh untuk berhenti merokok
- Yakinkan diri
- Buat nota peringatan
- Katakan pada diri anda, "Aku bukan perokok"
- Tumpukan pada hari ini
- Sentiasa berfikiran positif
- Dapatkan sokongan
- Lawan keinginan untuk merokok
- Gunakan Terapi atau rawatan yang sesuai
- Amalkan Petua 10 M untuk berhenti merokok

"Setiap Sedutan, Membawa Padah"