Wednesday, February 2, 2011

KEADAAN DAN SITUASI TERKINI PELAJAR-PELAJAR MALAYSIA DI REPUBLIK ARAB MESIR

KENYATAAN AKHBAR
YB DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA
MENGENAI KEADAAN DAN SITUASI TERKINI
PELAJAR-PELAJAR MALAYSIA DI REPUBLIK ARAB MESIR
2HB FEBRUARI 2011 (RABU)
___________________________________________________________________
1.    Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia mengambil maklum, prihatin serta bersimpati dengan keadaan sukar dan situasi getir yang dihadapi oleh para pelajar Malaysia yang kini berada di Republik Arab Mesir, selepas hari kesembilan berlakunya demonstrasi dan rusuhan oleh rakyat Mesir di sana.

2.    Untuk makluman semua, mengikut rekod pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, di Mesir kini terdapat seramai 11,319 orang pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di republik tersebut.  Jumlah ini termasuklah seramai 5,184 orang pelajar perubatan dan 6,135 orang pelajar yang melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang pengajian Islam.

3.    Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia melalui pejabat Jabatan Penuntut Malaysia (JPM) Kaherah sebelum ini telah melakukan hebahan nasihat keselamatan kepada semua pelajar agar mereka dapat menjauhkan diri daripada terlibat dengan aktiviti rusuhan dan demonstrasi oleh rakyat Mesir.  Di samping itu juga, nasihat serta siaran hebahan telah diberikan kepada semua pelajar agar mereka sentiasa dan dapat mematuhi arahan keselamatan termasuklah arahan perintah berkurung (curfew) pada masa-masa yang ditetapkan.  Selain daripada itu, semua pelajar Malaysia juga dinasihatkan agar dapat membuat persediaan penyimpanan makanan yang secukupnya bagi menghadapi saat-saat sukar di sana.

4.    Sejak keadaan rusuhan kian meruncing serta tahap keselamatan pelajar Malaysia menjadi semakin membimbangkan, pihak JPM Kaherah telah memulakan usaha menempatkan para pelajar Malaysia dalam kumpulan yang lebih besar di beberapa tempat utama termasuklah di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah serta beberapa rumah negeri yang terdapat di sana.  Langkah ini bertujuan untuk memastikan keselamatan para pelajar agar lebih terjamin, selain bagi memastikan perhubungan komunikasi antara mereka tidak terputus.  Di samping itu juga, ketika berada di luar arahan perintah berkurung (curfew), pegawai-pegawai JPM Kaherah akan mengadakan kunjungan ke rumah-rumah pelajar Malaysia di sana bagi meninjau keadaan serta situasi pelajar Malaysia yang lain.  Pegawai-pegawai JPM Kaherah seterusnya akan menyediakan laporan keadaan terkini kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia di Putrajaya.  Buat masa ini, seramai lebih 7,000 orang pelajar telah dapat dihubungi dan diketahui keadaan mereka.  Alhamdullilah, kesemua mereka kini berada dalam keadaan selamat dan terkawal tanpa mengalami apa-apa kecederaan dan tidak ada sebarang kematian yang melibatkan mereka.  Langkah ini akan terus dilakukan sehinggalah kesemua nasib dan keadaan pelajar Malaysia di sana dapat diketahui.

5.    Sementara itu, bagi memudahkan ibu bapa dan keluarga para pelajar untuk mendapatkan status serta kedudukan terkini mengenai anak-anak serta ahli keluarga mereka di Mesir, mereka bolehlah menghubungi pegawai-pegawai Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia seperti di bawah:-
          1)      Yang Berbahagia Prof Dr Rujhan Mustafa
                   Pemangu Ketua Pengarah
                   Jabatan Pengajian Tinggi Malaysia
                   No. Telefon       : +6019 – 270 8222
                   E-mel                  : mrujhan@mohe.gov.my

         

          2)      Yang Berusaha Dr Syed Alwee Shekh Alsagoff
                   Pengarah Bahagian Pemasaran Pendidikan
                   Jabatan Pengajian Tinggi Malaysia
                   No telefon         : +6019 – 752 0672 
                   E-mel                  : alwee@mohe.gov.my

          3)      Encik Jamalulail Bin Abu Bakar
                   Ketua Penolong Pengarah Kanan
             Unit Jabatan Penuntut Malaysia
             Jabatan Pengajian Tinggi Malaysia
                   No telefon         : +6012 – 931 6172
                   E-mel                  : jamalulail@mohe.gov.my

6.    Seperti mana yang Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah umumkan semalam (1 Februari 2011), Kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk melakukan operasi menyelamatkan pelajar dan rakyat Malaysia di Republik Arab Mesir melalui udara dan juga laut.  Pelajar dan rakyat Malaysia akan di bawa ke Jeddah, Arab Saudi bagi mendapatkan bantuan perlindungan serta tempat yang lebih selamat di Arab Saudi.  Sehubungan dengan itu, kerjasama dan jasa baik daripada semua pihak amatlah diharapkan bagi memastikan urusan pemindahan berjalan dengan lancar dan sentiasa berada dalam keadaan selamat.

7.    Pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia pada ketika ini telah dimaklumkan mengenai pengumuman cuti oleh beberapa buah universiti utama di sana.  Cairo University menetapkan cuti selama 3 bulan; Universiti Al-Azhar selama 1 tahun; manakala Ain Shams University menetapkan cuti selama 6 bulan.


8.    Pada ketika ini, pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia sentiasa berhubung dan mendapatkan nasihat daripada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri untuk tindakan-tindakan selanjutnya diambil.  Pihak Kementerian Pengajian Tinggi juga sentiasa berhubung dengan pihak Kementerian Luar, Wisma Putra, Kementerian Pertahanan dan beberapa agensi keselamatan lain bagi mendapatkan maklumat lengkap dan situasi terkini mengenai keadaan pelajar Malaysia di Mesir.

Disediakan oleh:-

Pejabat YB Menteri Pengajian Tinggi
Putrajaya
2 Februari 2011