Pemasaran video atau lebih dikenali sebagai “Video Marketing” adalah sesuatu yang masih baru dalam dunia perniagaan internet tempatan. Tidak salah juga untuk saya katakan bahawa kemajuan dalam pemasaran video ini mengalami kemajuan hari demi hari berikutan peningkatan tahap teknologi dalam dunia perniagaan maya ini.
Walaubagaimanapun, masih ramai yang tidak menggunakan teknik pemasaran ini sepenuhnya. Ini berikutan teknik ini memerlukan kepakaran yang khusus bagi menghasilkan keputusan yang memberangsangkan. Terdapat beberapa usahawan internet yang dapat anda lihat dimana mereka menggunakan pemasaran video sebagai medium utama untuk memasarkan produk atau perkhidmatan mereka.
Namun, adakah teknik pemasaran ini sesuai digunakan di negara kita?
Jawapannya ialah ia sesuai digunakan jika anda tahu mengaplikasikannya dengan kaedah yang betul dan menepati citarasa masyarakat sekeliling. Anda perlu memahami beberapa perkara penting mengenai pemasaran video ini sebelum anda berhasrat untuk menggunakannya bagi melariskan produk atau perkhidmatan anda. Antaranya ialah:
Memudahkan proses pendidikan
Melalui video, anda dapat memudahkan proses untuk mendidik para pelanggan untuk memahami maklumat mengenai sesuatu produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Ia juga dapat membantu mereka menjimatkan masa dimana mereka hanya memerlukan beberapa minit sahaja untuk menonton video tersebut sebelum membuat keputusan untuk membelinya.
Namun, pembikinan video adalah sesuatu yang kritikal dimana anda perlu mengambil berat setiap aspek seperti kualiti penghasilan video, penggunaan audio dan gabungan media-media yang lain agar anda menjadikan video tersebut lebih interaktif dan menarik perhatian para penonton.
Sebagai contoh, anda boleh lihat iklan-iklan berbentuk video di laman web seperti Youtube.com dan lakukan analisis bagaimana mereka berjaya menarik perhatian anda dengan hanya menyediakan video panduan selama beberapa minit sahaja.
Mencipta keunikan tersendiri
Jika anda seorang yang bijak mengambil peluang, maka anda perlu melaksanakan teknik pemasaran melalui video kerana ia dapat mengasingkan perniagaan anda dengan pesaing-pesaing yang lain. Keunikan yang dimaksudkan ialah mempunyai “x-factor” yang menyebabkan para pelanggan menyukai video anda dan menyebarkannya pada rakan-rakan yang lain (word-of-mouth marketing).
Bagi menjana idea-idea kreatif untuk membentuk keunikan dalam video, beberapa kriteria penting harus dititikberatkan terlebih dahulu. Antaranya:
- Tema video anda
- Pemilihan warna bagi melambangkan produk atau perkhidmatan
- Video yang singkat dan maklumat yang padat
- Mudah untuk difahami
Anda boleh jadikan senarai diatas sebagai rujukan utama bagi mencipta keunikan dalam video anda. Walaubagaimanapun, anda tetap memerlukan pengalaman dan ilmu pengetahuan yang luas dalam teknik ini. Dengan kata lain, “Learn As You Do It”.
Kepentingan “kreativiti” dalam pemasaran video
Bagi mencipta daya penarikan terhadap para penonton, kreativiti adalah sesuatu yang harus dititikberatkan dalam aspek penghasilan video. Untuk menjadi seorang yang kreatif dalam penghasilan video, maka perbanyakkan latihan dan penyelidikan video-video di luar sana. Ambil contoh-contoh video yang terbaik dan lihat bagaimana mereka lakukannya.
Kesimpulannya, penghasilan video yang terbaik ialah video yang menggunakan masa yang tidak begitu lama dan penyampaian straight to the point. Persoalannya pula, adakah anda pernah menggunakan teknik ini untuk mempromosikan sebarang produk atau perkhidmatan anda? Kongsikan pengalaman dan pendapat anda di ruangan komen yang disediakan.
No comments:
Post a Comment