Thursday, February 4, 2010

Isu Bahasa Inggeris

Tidak Faham Atau Sengaja Ambil Kesempatan 

Kuala Lumpur -- Isu penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik tidak akan berkesudahan sekiranya pihak-pihak tertentu termasuk di kalangan pemimpin UMNO sendiri gagal memahami tujuan sebenar pelaksanaan tersebut.
Lebih memburukkan lagi keadaan apabila pemimpin tersebut melihat isu ini di luar konteks yang sebenar dengan menjadikannya sebagai paltform untuk meraih populariti.
Mengulas perkara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Hishammuddin Tun Hussein berkata suara-suara sumbang pemimpin tersebut tidak akan memberi banyak faedah dalam membantu bukan sahaja kerajaan malah Parti yang diwakilinya kerana hujah yang dikemukakan itu berada di luar ruang lingkup perbahasan berkenaan dengan isu tersebut.
Menurutnya, Pemuda dan UMNO amnya mempunyai kesedaran dan pandangan yang jelas mengenai kepentingan bahasa Melayu.
Malah katanya, sumbangan UMNO untuk mengangkat martabat orang Melayu juga sememangnya tidak boleh dipertikaikan sejak dari dulu lagi.
“Kita mempertahankan pelaksanaan pengajaran bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik dengan tujuan memastikan anak-anak Melayu tidak terpinggir dalam arus globalisasi.
“Semua pihak harus sedar pelaksanaan ini adalah satu langkah ke hadapan untuk memajukan anak bangsa. Ia bukan sahaja meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris malah apa yang lebih penting dengan penguasaan itu juga anak bangsa kita akan lebih berupaya mengusai ilmu sains dan teknologi yang jelas menjadi teras kepada kemajuan sesebuah negara pada masa hadapan”, katanya ketika diminta mengulas suara sesetengah pemimpin UMMNO seperti Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Shahril Abdul Samad dalam isu penggunaan bahasa Inggeris di sekolah di sini, hari ini.
Katanya lagi, tidak menjadi kesalahan jika pihak-pihak tertentu termasuk pemimpin UMNO meluahkan pandangan yang kritis terhadap cadangan kerajaan berhubung dengan pelaksanaan bahasa Inggeris itu tetapi biarlah ia bersifat membina.

“Namun pada masa yang sama kita mahu bertanya kepada individu terbabit apakah sumbangannya untuk menjelaskan kepada masyarakat mengenai masalah yang sedang bangsa kita hadapi kini”, katanya.
Tegasnya, sekadar melontarkan pandangan mencari seribu satu kelemahan di dalam sesuatu isu itu tidak akan membawa sebarang makna dan manfaat tanpa sebarang usaha membaiki keadaan tersebut.
“Banyak perkara lain yang lebih berfaedah boleh dilakukan umpamanya mencari jalan terbaik memperkasakan sekolah kebangsaan, meningkatkan lagi integrasi nasional melalui sekolah wawasan, cadangan terhadap langkah menguasai bahasa Inggeris dan pada masa yang sama memastikan bahasa Melayu tidak terhakis.
“Cara ini lebih bermanfaat, bernilai dan bermakna berbanding menidakkan atau menafikan apa sahaja usaha kerajaan”, katanya.
Beliau berkata, dalam keadaan ini Pemuda sudah pun membuktikan usahanya menghadapi golongan ekstremis Cina ketika isu tuntutan Suqiu dan berjaya memadamkan desakan mereka.
Beliau kesal kerana ada pemimpin UMNO sendiri yang memberikan pandangan yang seolah-olah alpa dari agenda meningkatkan daya saing bangsa, terutama dengan peningkatan persaingan menjelang era globalisasi.
“Memang mudah bersuara lantang, meraih populariti bagi mendapatkan sokongan menerusi cara itu tetapi cuba tanya diri sendiri, apakah cara itu dapat membantu bangsa sendiri, memperkasa bahasa Melayu, menjelaskan kekeliruan mengenai sekolah wawasan dan memperkukuhkan sekolah kebangsaan?
“Malah jika semua pihak dapat bekerjasama dengan ikhlas untuk memperkasakan sekolah kebangsaan dan sekolah wawasan, percayalah pada suatu masa kelak pelbagai jenis sekolah kebangsaan tidak akan diperlukan lagi khususnya dalam usaha mewujudkan integrasi nasional yang mantap”, katanya.
Hishammuddin berpendapat, sudah sampai masanya pemimpin UMNO yang seumpamanya menghentikan kecenderungan menonjolkan sikap kritis sehingga lupa perjuangan sebenar Parti yang sentiasa meningkatkan martabat agama, bangsa dan negara.

No comments: